Saturday 14 April 2012

Mengapakah remaja kurang membaca buku

Remaja merupakan asset kepada negara.Mereka bakal mewarisi kemajuan negara dan mereka juga akan mencorakkan masa depan negara. Justeru, masalah remaja kurang membaca buku merupakan fenomena yang amat membimbangkan kita. Persoalannya, mengapakah remaja kurang berminat untuk membaca buku? Remaja kurang membaca adalah kerana mereka terdedah dengan hiburan yang melampau pada setiap masa. Celik sahaja daripada tidur, mereka akan didedahkan dengan dunia hiburan melalui media massa serta pelbagai aktiviti di dalam dan di luar rumah. Lagu-lagu pelbagai irama seperti rock, hip hop dan sebagainya sering berkumandng melalui radio sehinggalah melalui MP3 dan yang terkini MP4. Selain itu, masyarakat di sekeliling juga tidak menggalakkan remaja untuk membaca buku. Masyarakat sekeliling, terutama ibu bapa tidak menunjukkan contoh sebagai pembaca yang baik. Mereka sibuk dengan kerja masing-masing sehingga tiada masa membaca buku untuk dicontohi oleh remaja. Malah, di rumah tiada bahan bacaan yang bermutu selain daripada majalah ringan dan surat khabar. Remaja yang masih belajar pula hanya membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan pelajaran di sekolah sahaja. Mereka tidak membaca bahan-bahan bacaan lain. Mereka berasa tidak perlu membaca bahan-bahan bacaan lain kerana bahan bacaan tersebut tiada kepentingan untuk pelajaran di sekolah secara langsung. Remaja juga hanya terdedah dengan bahan bacaan ringan berbentuk hiburan dan gosip artis-artis. Remaja tidak didedahkan dengan bahan bacaan ilmiah yang berguna untuk mengembangkan minda mereka. Hal ini menyebabkan mereka merasakan membaca buku itu adalah tidak penting dalam hidup mereka. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang rajin membaca buku. Melalui bahan bacaan, mereka akan memperoleh banyak maklumat dan pengetahuan. Hal ini merupakan satu cara untuk meningkatkan kualiti modal insan dalam masyarakat kita. Justeru, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menggalakkan masyarakat, terutama golongan remaja supaya membaca buku.

No comments:

Post a Comment