Wednesday 30 March 2011

Kebaikan dan Keburukan Sekolah Satu Sesi

Sekolah satu sesi ialah sekolah yang mengadakan sidang pengajaran dan pembelajaran pada sebelah pagi sahaja. Di negara kita masih terdapat banyak sekolah yang tidak menjalankan sekolah satu sesi kerana kekurangan bilik darjah dan kemudahan untuk belajar.
Sekolah satu sesi secara umum dipersetujui oleh banyak pihak kerana memberikan kebaikan kepada pelajar. Melalui sekolah satu sesi, pelajar dapat belajar dengan menggunakan masa yang lebih panjang. Sesi pembelajaran dari pukul 7.30 pagi hingga 2.30 petang memberikan masa yang panjang kepada pelajar untuk belajar dan berinteraksi dengan guru.
Belajar pada sesi pagi juga dapat memberikan keselesaan kepada pelajar kerana cuaca dan persekitaran pada waktu pagi lebih nyaman dan selesa untuk belajar. Justeru, pelajar dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran dan seterusnya memberi kesan yang lebih baik.
Selain itu, sekolah satu sesi memberikan peluang yang lebih selesa kepada sekolah untuk mengadakan kegiatan kokurikulum. Kegiatan kokurikulum boleh diadakan pada waktu petang dengan lebih mudah untuk mendapatkan bilik kegiatan serta tiada gangguan.
Walau bagaimanapun, langkah untuk mewujudkan sekolah satu sesi memerlukan perbelanjaan yang banyak. Kerajaan perlu mendirikan bangunan bilik darjah yang lebih banyak. Kerajaan juga memerlukan kawasan yang lebih luas untuk tujuan terebut. Keaadaan ini sukar untuk dilaksanakan di kawasan bandar kerana kawasan agak terhad.
Sesunguhnya, sekolah satu sesi banyak memberikan kebaikan kepada pelajar. Pelbagai usaha sedang dilakukan ke arah mencapai sistem persekolahn tersebut. Pelaksanaan sekolah satu sesi dapat meningkatkan prestasi pendidikan di negara kita.