Saturday, 9 June 2012

MEMBACA KUNCI SEGALA ILMU


      Kemajuan sesebuah negara dan masyarakat banyak bergantung kepada budaya membaca. Negara Jepun dan Korea muncul sebagai negara maju dalam bidang ekonomi kerana faktor budaya membaca dalam kalangan rakyatnya. Hal ini demikian kerana membaca merupakan kunci segala ilmu dan penggerak kepada kemajuan.
Orang yang membaca umpama pokok yang tumbuh merendang dan mengeluarkan buah. Pokok yang rendang dijadikan tempat bernaung daripada panas manakala buahnya dapat dimakan. Tegasnya, orang yang membaca dapat dijadikan sebagai sumber rujukan dan dihormati oleh orang lain.

      Kita hendaklah menanamkan tabiat suka membaca sepanjang hayat. Daripada kecil hingga ke liang lahat, kita digalakkan membaca pelbagai jenis buku daripada pelbagai disiplin buku. Sama ada kita pelajar, ahli sukan, guru, pekebun atau sesiapa sahaja, kita mesti mengamalkan budaya membaca. Dengan membaca kita memperoleh pelbagai maklumat dan sumber ilmu. Membaca membolehkan mereka mneroka khazanah ilmu dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

      Membaca itu dikatakan sebagai jambatan ilmu. Orang yang membaca mampu bergerak pantas untuk memajukan diri berbanding orang yang kurang membaca. Masyarakat yang membaca dapat memanfaatkan ilmu untuk kepentingannya dirinya dan orang lain. Membaca juga membolehkan kita memahami budaya, persekitaran, falsafah dan cara berfikir orang lain dari seluruh dunia.

     Kesimpulannya, untuk muncul sebagai masyarakat yang maju kita perlu membaca bahan-bahan yang bermutu. Elakkan membaca bahan-bahan yang akan memudaratkan emosi dan fikiran seperti majalah picisan yang banyak dijual dipasaran sekarang.

No comments:

Post a Comment