Saturday 30 June 2012

Kahwin Ganti



Luqman Hakim dan Nuqman Hakim adalah pasangan kembar seiras yang hanya dapat dibezakan dengan sikap dan perwatakan mereka. Sejak kecil, tidak seperti pasangan kembar yang lain mereka tidak sependapat dalam hampir semua perkara. Luqman  sering mahu mendapatkan apa yang ada di tangan Nuqman dengan apa cara sekalipun dan sebagai abang, Nuqman sering mengalah.Semakin membesar dan mampu berfikir panjang, Nuqman mula menganggap Luqman sebagai perampas dan cuba menjauhkan diri dari adik kembarnya dengan memohon untuk tidak belajar di tempat yang sama dan mempunyai lingkungan teman yang sama. Akhirnya, di zaman belajar mereka tiada siapa pun yang tahu yang mereka masing-masing mempunyai pasangan kembar melainkan kenalan rapat dan  saudara mara sahaja.

Konflik bermula bila di malam pernikahannya, Nuqman memilih untuk melarikan diri sebelum majlis bermula tanpa sebarang sebab. Untuk menyelamatkan keadaan dan maruah kedua belah keluarga, dalam terpaksa Luqman menjadi pengganti tanpa siapa menyedari kecuali Nuha Aleesya, kakaknya. Tetapi atas dasar serba salah, Luqman menceritakan segalanya pada Mya Zara, kekasih hati abangnya yang kini sah menjadi isterinya. Kemudiannya Ummi dan Abah turut diberitahu dengan kesannya pemergian abah pulang ke rahmatullah kerana serangan jantung.

Keadaan jadi lebih rumit bila Mya Zara yang lebih tua dua tahun dari Luqman mula melapor diri sebagai tutor di tempat Luqman belajar.Namun berdasarkan janji yang di buat di malam pernikahan mereka, masing-masing berpura-pura seakan tidak mengenali dan dengan teman yang rapat, Luqman hanya memperkenalkan Mya Zara sebagai saudaranya.

Pelbagai insiden berlaku sepanjang pengajian tahun akhir Luqman di situ hinggalah kehadiran Iskandar menyedarkan Luqman tentang perasaan yang mula tumbuh di dalam hatinya terhadap Mya Zara dan juga kemunculan Qaseh yang mula merapatkan hubungan mereka berdua setelah mereka mula duduk sebumbung.

Bila masing-masing mula yakin akan perasaan sendiri dan bahagia baru hendak menyapa, Norman Hakim pula muncul membayangi hari-hari Luqman kerana wajahnya yang seiras Nuqman. Siapa sebenarnya Norman Hakim?Akan terjawabkah persoalan kenapa Nuqman lari di hari pernikahannya? Adakah Nuqman akan terus menagih kasih Zara dan tegarkah Luqman melepaskan Mya Zara pada abangnya?

Zara : Jangan tinggalkan saya Luqman. Hati saya, hanya untuk awak. Kalau awak pergi, berapa kali pun Nuqman datang dan pergi selepas ini ... sekali pun dia tak kan mampu nak gantikan tempat awak.

Luqman : Ada benda yang kadang kala tak perlu dicakap.Cukup dengan perbuatan, dah jelaskan semuanya. Begitu juga perasaan saya pada awak Zara.

Nuqman : Zara, Demi Allah, tak pernah terniat di hati saya nak tinggalkan awak. Saya terperangkap dalam keadaan.. percayalah.


-Rabiah-

No comments:

Post a Comment