Wednesday 28 March 2012

Seronokkah Kamu di Sekolah?

        Sekolah itu bertanggungjawab untuk melahirkan manusia yang berilmu. Selain itu, sekolah juga bermatlamat untuk melahirkan manusia yang terdidik. Matlamat tersebut akan tercapai dengan usaha yang berkesan daripada pihak sekolah. Warga sekolah perlu memastikan bahawa susana yang menyeronokkan dapat direalisasikan di sekolah.

        Langkah pertama adalah dengan memastikan keadaan fizikal sekolah yang sentiasa bersih dan ceria. Antara tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran termasuklah mengadakan Pertandingan Sekolah 3K, Sekolah dalam Taman, Asrama Hotel, dan Tandas Tiga Bintang. Walau bagaimanapun, pelaksanaan program ini perlu dipantau dari semasa ke semasa agar semua sekolah di negara ini bukan sahaja menyeronokkan pelajar malahan menyenangkan hari sesiapa sahaja yang memandangnya.

        Pihak sekolah hendaklah memastikan prasarana sekolah adalah mencukupi. Prasarana yang lengkap secara tidak langsung mewujudkan suasana sekolah yang menyeronokkan. Pihak yang berkenaan hendaklah melengkapkan sekolah dengan pelbagai kemudahan untuk memastikan aktiviti di sekolah dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya. Potensi pelajar dalam perlbagai bidang dapat dikembangkan. Prasarana sekolah perlu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi melaksanakan agenda pendidikan yang sempurna dan menyenangkan semua pihak.

        Tahap disiplin pelajar juga amat penting dalam mewujudkan susana yang tenteram di sekolah. Disiplin yang terkawal akan membuatkan pelajar berasa selamat dan dapat mengikuti persekolahan dengan baik. Gejala sosial di sekolah hendaklah dikesan dari peringkat awal dan usaha pencegahan hendaklah dilakukan sebaik-baiknya. Kejayaan dalam menangani gejala tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana yang selamat dan melahirkan perasaan seronok untuk menimba ilmu dan kemahiran di sekolah.

        Selain itu, keupayaan guru dalam mengendalikan pengajaran dan pemelajaran (P&P) tidak kurang pentingnya dalam usaha membina situasi sekolah yang menyeronokkan. Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajar Daerah, dan Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah hendaklah memainkan peranan secara terbuka dan lebih berkesan selain meningkatkan keupayaan guru dalam menguasai ilmu dan kemahiran untuk mengendalikan P&P.

No comments:

Post a Comment