Saturday, 9 June 2012

PENDAPAT


Beberapa tempat awam seperti di perhentian bas, pasar raya, panggung wayang, kawasan sekolah dan sebagainya telah diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia sebagai kawasan larangan merokok. Perokok yang melanggar peraturan ini akan dikenakan saman. Pada saya,tindakan kerajaan ini memang wajar dikenakan. Seperti yang kita tahu, merokok di tempat awam akan mendatangkan banyak keburukan.

Perokok yang tidak bertimbang rasa yang merokok di tempat awam akan menganggu ketenteraman orang di sekelilingnya. Cuba kita bayangkan asap rokok yang berbau busuk dan mencemarkan udara di sekeliling tempat awam. Tindakan seperti ini nescaya mengganggu ketenteraman orang lain.
 
Menurut laporan perubatan, asap rokok yang dihembus keluar dari mulut perokok akan menjejaskan kesihatan orang di sebelah yang tersedut asap itu. Kesan yang dihadapinya lebih buruk daripada asap yang dihisap olah perokok itu sendiri. Perbuatan yang sedemikian amat buruk dan menyusahkan orang lain.
 
Selain itu, perokok yang menghisap rokok di tempat awam biasanya mempunyai tabiat buruk iaitu membuang puntung rokok di merata-rata tempat. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan mengotorkan alam sekeliling. Jika tempat awam ini merupakan kawasan tarikan pelancong, maka hal ini pasti akan menjadi buah 

mulut pelancong yang balik ke negara asal mereka kelak. Dengan kata lain, imej negara turut terjejas.
Pada saya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak agar bertimbang rasa dan menjaga imej negara dengan tidak merokok di tempat awam. Kesedaran ini penting demi kesejahteraan masyarakat. Akhir kata,demi kesihatan diri dan kesihatan orang lain, patuhilah peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

No comments:

Post a Comment